#2


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Tak sangka badan sengal dan seram sejuk juga sakit kepala yang berlarutan 2-3 hari ingatkan nak demam rupanya tanda mengandung. Saya malas nak ke klinik tapi saya minta Mik belikan pregnancy kit. Saya yakin tak mengandung tapi hati nak juga beli. 2 insiden seperti berulang masa awal mengandungkan Qaiser dulu tapi masih tak dapat tangkap. Saya memang tak perasan sebab tak terfikir rezeki akan datang secepat ini (doctor recommends untuk jarakkan kandungan kedua sekurangnya 3 tahun untuk ibu Cesarean). Alhamdulillah, kandungan berusia 7 minggu.

Trimester pertama. Teruk. Lebih teruk jika dibandingkan dengan pengalaman yang pertama. Saya terpaksa "bed rest" selama hampir 3 bulan kerana Anemia. Doktor minta buat pemeriksaan kandungan setiap 2 minggu untuk monitor keadaan saya. Anemia berisiko untuk ibu dan bayi. Risiko untuk ibu ialah seperti keguguran, tumpah darah semasa dan selepas bersalin juga kematian. Risiko untuk bayi pula ialah tumbesaran dan perkembangan bayi terbantut, kelahiran kurang berat badan, kelahiran tidak cukup bulan atau bayi meninggal dalam kandungan. Bila doktor terangkan tentang risiko di atas, hati saya tak tenteram. Macam-macam saya cuba makan untuk naikkan Hb. Ada kawan yang kesiankan keadaan saya sampai sanggup courier buah delima dari Pahang. Thanks Syikin! Alhamdulillah Hb saya normal semasa kali terakhir pemeriksaan pada 2 minggu lepas. Maknanya lepas ni pemeriksaan cuma sebulan sekali seperti ibu mengandung lain.

Penerimaan Qaiser. Sepanjang trimester pertama, saya kurang beri perhatian pada Qaiser. Hati ni rasa sedikit bersalah tapi badan memang sangat lemah. Lemah sampaikan duduk pun rasa nak pitam. Qaiser nampaknya macam faham yang saya kurang sihat. Dia selalu masuk ke bilik dengan makanan dan suapkan saya. Pernah juga dia offer air soya yang Opah dia letak dalam botol susu. "Namy, na air oya?". Comel sangat!

Dari awal kandungan, saya tukar nama panggilan beliau dari Qaiser kepada abang. Saya nak dia rasa yang dia dah besar. Bila jadi abang, maknanya akan ada adik. Saya ajar dia usap perut saya dan saya akan katakan "Abang, dalam perut Mommy ada baby. Nanti abang dapat adik tapi abang jangan risau, Mommy tetap sayang abang. Abang kan anak sulung". Bila perut makin membulat, pernah ada sekali tu dia usap & cium perut saya sambil panggil "Babyyy!". Terkejut dibuatnya! Dengan reaksi spontan beliau, saya yakin dia dah bersedia. Semoga tiada first-born jealousy drama pada minggu pertama kelahiran bayi ini nanti. InsyaAllah! Hahaha

Berahsia. Bukan berahsia tapi saya cuma ikut nasihat dari Ibu. Teringat kena sound masa mengandungkan Qaiser dulu "Ha, ni baru mengandung berapa minggu jangan pula nak sibuk bagitau kat internet (social media). Kandungan tak kuat lagi. Budak sekarang, baru 3-4 minggu dah nak bagitau dunia. Kalau ye pun, tunggu habis 1st trimester". Pedas tapi ada betulnya. Bila kawan-kawan private message, saya mengaku tapi untuk nak buat konon-konon pregnancy announcement ni, saya rasa semasa kandungan 6 bulan lebih sesuai sebab kesihatan saya dah stabil.

Jantina. Belum tahu. Untuk pengalaman kedua ni, saya buat pemeriksaan di Klinik Kesihatan sahaja. Tak macam sebelum ni, saya buat di Medical Center dan Klinik Kesihatan. Saya semakin yakin yang hospital kerajaan juga ada standard yang bagus. Nak dijadikan cerita, doktor tiada 3 kali berturut-turut semasa saya buat pemeriksaan. Di Klinik Kesihatan, mesin ultrasound cuma boleh digunakan oleh doktor sahaja. Jadi, sampai sekarang saya tak tahu jantina bayi. Tunggu la bulan Mac nanti. Kami tak kisah pun jantina, janji baby cukup sifat dan sihat. Itu yang lebih penting.

Dah lama tak tulis blog. Untuk posting pertama 2016 ni, terpanjang pula macam lepas gian. Tolong doakan segalanya berjalan lancar dan yang penting, kelahiran vbac. InsyaAllah.