The day my baby was born

Alhamdulillah, hari ini genap usia Baby Qaiser 22 hari. Pada post sebelumnya, saya ada berkongsi cerita tentang Baby Qaiser berkedudukan songsang di dalam perut & perlu menjalani pembedahan. Doktor di Hospital Sungai Buloh dah tetapkan tarikhnya pada 22/4/2014 tapi kita hanya boleh merancang, tuhan yang menentukan semuanya. Siapa sangka saya melahirkan Baby Qaiser awal seminggu dari tarikh yang doktor beri. Maaf jika post kali ini sedikit panjang. Selamat membaca!

15/4/2014

6.30pm: Balik dari pejabat, ternampak tanda berwarna coklat. Saya teringat pesan doktor tentang tanda-tanda nak bersalin. Saya terus bertanyakan kepada MIL, dia terus kelam-kabut & suruh pergi ke hospital segera. Saya pula berlenggang-kanggung baru nak packing hospital bag & cuma sempat pack barang sendiri & terus ke hospital.

7.00pm: Tiba di hospital. Doktor menjalankan pemeriksaan seperti biasa.

8.15pm: Mik tiba di hospital. Contraction mula terasa.

10.50pm: Doktor seluk. Belum ada bukaan tapi contraction mula makin kuat. Lapar tapi hanya alas perut dengan roti & jus buah.

16/4/2014

1.50am: Saya minta Mik balik berehat di rumah setelah jururawat mengesahkan yang suami tak perlu ada di hospital buat masa ni sebab saya masih dalam pemerhatian. Yela, kesian Mik kena tidur di ruangan menunggu dengan masih pakai baju kerja, tak mandi & makan lagi.

5.00am: Contraction datang selang 10 minit. Sakit! Sakit sangat! Bacaan "Lailahaillah muhammadarasullulah" yang hanya mampu saya baca setiap kali contraction datang. Doktor seluk buat kali kedua. Bukaan sebanyak 2cm. Punyalah sakit tak tidur dari semalam, baru buka 2cm je? Mik nak datang tapi saya minta dia cuma rehat di rumah & tunggu jam 8am nanti supaya dia dapat rehat yang cukup.

7.00am: Doktor buat pemeriksaan pagi. Doktor arahkan nurse buat bacaan contraction sebab tengok keadaan saya macam sakit sangat. Memang betul, contraction memang dah makin kerap.

8.10am: Doktor seluk kali ketiga. Muka doktor berubah. "Ya Allah, dah buka 4cm. Nurse, cepat siapkan patient untuk operation". Masa tu ramai nurse yang datang untuk tukar baju, bagi makan ubat & menyiapkan segala keperluan sebelum saya dibawa ke bilik pembedahan. Saat paling takut ialah bila doktor bacaankan risiko c-section & suruh saya tandatangan surat yang saya tak pasti surat apa sebenarnya. Semuanya berlaku dengan pantas & saya hanya sempat sms Mik pada jam 8.25am "Confirm. Doc dah kelam-kabut nak operate sebab bawah dah buka 4cm" sebelum semua barang termasuk handphone diambil oleh jururawat. Bayangkan terputus hubungan dengan suami yang sedang dalam perjalanan ke hospital & semuanya perlu dilalui seorang diri.

8.40am: Saya dibawa ke bilik pembedahan. Perjalanan dari wad ke bilik pembedahan antara perkara yang paling takut saya rasakan dalam hidup. Takut! Takut sangat! Saya tak sempat jumpa suami, saya perlu jalani pembedahan seorang diri, macam mana sekiranya pembedahan tak berjaya? Saya tahu semua tu merepek tapi sepanjang perjalanan dari wad ke bilik pembedahan, banyak perkara negatif terlintas dalam fikiran. Dalam hati nak cakap "Nurse, stop! Saya taknak operation!" tapi bila fikirkan tentang anak dalam kandungan, saya tawakal.

8.50am: Di luar bilik pembedahan, doktor memperkenalkan diri & menunjukkan surat yang saya tandatangan sebagai pengesahan & membawa saya masuk ke bilik pembedahan. Doktor seluk buat kali ketiga "Dah buka 8cm". Masuk sahaja di bilik pembedahan, perkara pertama yang terlintas di fikiran "Fuyoo, macam dalam drama la". Doktor bagi penerangan tentang bius yang akan diberikan di bahagian tulang belakang "Puan, saya akan bagi bius di belakang. Sakit sikit sahaja. Puan takkan rasa apa-apa dari pinggang ke bawah". Semasa saya diberikan injection, doktor sempat berpesan "Puan jangan bergerak atau Puan boleh lumpuh". Gila tak cuak? Memang tak bergerak lansung la sebab takut perkara tak diingini terjadi. Selepas beberapa minit, doktor minta saya gerakkan kaki untuk pastikan ubat bius sudah mula efektif sebelum memulakan pembedahan. Semua yang doktor buat pada perut, saya dapat rasa tapi Alhamdulillah tak sakit. Sepanjang pembedahan, saya cuba tenangkan diri tapi doktor bius cakap denyutan jantung saya laju & minta saya cuba bertenang sebab ini boleh membahayakan nyawa saya.

9.40am: Saya dapat dengar tangisan bayi tapi dalam hati "Anak aku ke tu?". Setelah jururawat bersihkan Qaiser, dia dibawa pada saya. "Puan, puan kena ada sentuhan dengan bayi". Qaiser menangis dengan kuat sangat tapi bila dia dengar suara saya, dia terus diam. Dalam hati saya, "Alhamdulillah, ini anak aku! Dia kenal suara mommy dia!". Haha. Setelah semuanya selesai, saya diletakkan di ruangan berehat sebelum dibawa ke wad.

11.46am: Perkara pertama yang saya buat setibanya di wad ialah menelefon Mik untuk beritahu semuanya dah selesai & boleh masuk ke wad semasa waktu melawat jam 12.30pm.






Nama: Muhammad Qaiser Bin Mohd Syamim
Tarikh & masa lahir: 16/4/2014, 9.40am
Jenis kelahiran: Emergency Lower Segmen Caesarean Section
Berat: 2.7kg
Panjang: 52cm


Ramai ibu-ibu di luar sana pernah mengalami proses melahirkan secara pembedahan seperti yang saya alami ini dan ada yang sampai 3 kali tapi bagi saya yang baru pertama kali mengalaminya, ini pengalaman menakutkan yang takkan saya lupakan. Ada teman-teman yang mengusik, "Ala, bukannya sakit. Lahir ikut tingkap tau-tau dah keluar. Kau nak bersalin lagi tak?". Buat masa ini, apa yang saya boleh katakan "Bersalin C-sec? Taknak. Saya dah fobia!" tapi akan datang, mungkin semuanya boleh berubah, Wallahu a'alam!