My Princess has arrived!

10.00am: Rutin pagi seperti biasa. Bangun tidur, guling-guling atas katil dan gomol Qaiser yang tengah tidur.

10.30am: Badan rasa tak sedap dan bahagian pinggang ke bawah rasa sakit. Tak pasti sama ada Braxton Hicks atau contraction yang sebenar. WhatsApp dekat group Geng So What? (Geng futsal yang sekarang dah jadi geng mak-mak) minta pendapat dan mereka suruh pergi hospital cepat. WhatsApp Mik supaya bersedia mana tau kali ni bukan false alarm.



11.09am: Minta Mik balik cepat sebab contraction makin kuat dan kerap selang 4 minit walaupun belum turun tanda lagi. Mandi dan bersiap.

11.45am: Mik sampai dan terus bawa aku ke Hospital Sungai Buloh.

12.00pm: Dah tak larat nak berjalan sebab contraction sakit sangat. Mak guard dekat PAC (Patient Assessment Centre) bawa wheelchair dan terus tolak masuk. Nurse minta aku baring atas katil dan dipasangkan alat CTG pada perut untuk monitor pergerakan jantung Baby Q. Doktor buat sesi Q&A.

12.20pm: Doktor seluk bawah. 6cm. Doktor terus minta nurse tukarkan baju dan tolak aku ke labour room. Alat CTG dipasangkan semula. Nurse panggil Mik masuk ke labour room. Doktor minta permission untuk pecahkan air ketuban bagi mempercepatkan proses kelahiran.

12.40am: Air ketuban dipecahkan. Katanya Baby Q dah berak sikit tapi tak perlu risau sebab air ketuban belum keruh lagi. Belum tahap yang membimbangkan. Bukaan masih 6cm tapi result CTG tak berapa cantik. Doktor terkejut. Katanya contraction aku terlalu kuat dan setiap kali contraction datang, pergerakan jantung Baby Q lemah. Doktor minta aku push. Banyak kali cuba tapi tak boleh. Aku tak sedar yang aku angkat punggung la, kemut la sebab contraction sakit sangat bak hang. Walaupun anak kedua tapi ini pengalaman pertama bersalin normal. Clueless! Nurse suruh sedut gas apa ntah, katanya boleh kurangkan sakit contraction. 2 kali sedut, TAK MEMBANTU LANSUNG.. Hahaha.. Doktor risau baby lemah dalam perut. Doktor bagi peringatan mungkin perlu pembedahan Cesarean. Dia keluar labour room untuk dapatkan nasihat doktor pakar.

1.05pm: "Saya dah minta pendapat 3 orang doktor pakar dan berdasarkan result CTG Puan, kita kena teruskan dengan czer". Masa tu jantung rasa terhenti. Merayu beberapa kali pada doktor supaya tak perlu czer. Doktor minta Mik keluar dari labour room. Masa tu aku rasa macam nak menangis. Bila pandang Mik, dia senyum kelat. Nampak la kerisauan pada raut wajah dia.

1.20pm: Kena tolak ke operation theater. Sebelum masuk OT, bermulalah rutin sebelum pembedahan - tanda tangan surat apa ntah, doktor bius dan doktor operation datang perkenalkan diri, dll. Mulut ni tak berhenti berselawat. Dalam hati "Ya Allah, aku masuk ke dalam bilik ni lagi". Macam-macam yang bermain dalam fikiran antaranya terbayang betapa sakitnya nak mengharungi 44 hari berpantang sekali lagi.

Doktor bius minta aku jangan baring mengiring (itu sahaja posisi selesa untuk tahan sakit contraction) sebab sekejap lagi nak bius tulang belakang. Sedang semua doktor dan nurse sibuk buat persiapan nak mulakan operation, ntah dari mana aku datang kekuatan bak Incredible Hulk nekad nak teran. Aku cuba teran tanpa pemantauan sesiapa. Doktor yang tengah sibuk terkejut "Eh, dah nampak kepala. Puan, kita cuba dulu ye?".

Seperti di labour room. Aku tak pandai meneran. Terjerit-jerit bagai nak keluat anak tekak doktor marah.

"PUAN, PUSH! JANGAN KEMUT! PUSH PANJANG MACAM NAK BUANG AIR BESAR"
"PUAN, JANGAN ANGKAT PUNGGUNG"
"PUAN, SILA BAGI KERJASAMA KALAU TAK, SUSAH NANTI".

Dialog yang sama diulang-ulang. Stress sangat sebab dah cuba sebaik mungkin untuk push tapi tak boleh juga sampai badan rasa penat dan dah tak larat nak push.

"Puan, sikit je lagi ni. Kita vacuum ye?"
"Doktor buat je la apa doktor nak, janji semuanya selamat"
.. ayat orang dah tak larat.. Hahaha

Teruskan push dan tak sedar bila doktor masukkan vacuum tiba-tiba rasa macam benda besar seberat 3.29kg terkeluar dari bawah dan dicampak atas dada.

2.21pm: Hi Baby Q! Masa tu, Ya Allah leganya sakit contraction dah berhenti. Baby Q di bawa untuk dibersihkan tapi kaki Mommy masih terbuka luas depan doktor. Lama juga doktor buat kerja seluk-menyeluk. Rupanya berlaku komplikasi masa bersalin. Pangkal rahim aku terkoyak dan yang buat lama tu sebab kena jahit bahagian pangkal rahim sebelum jahit yang luar selain aku hilang banyak darah tapi Alhamdulillah tak perlu sampai masuk darah.



Bila ditanya kenapa pangkal rahim boleh koyak. Kata doktor, mungkin disebabkan pressure untuk bukaan laluan 6 ke 10cm terlalu cepat sampai terkoyak dan bukan semua orang akan lalui macam tu. Teringat masa Qaiser dulu, 4 ke 8 cm kurang dari setengah jam. Sebelum doktor keluar dari OT, dia sempat meminta maaf sebab menjerit marah tadi. Sikit pun tak terasa hati malah berulang-kali mulut ni ucapkan "Terima kasih doktor".

3.30pm: Aku diletakkan di satu bahagian yang tau apa ke namanya tapi yang pasti semua orang yang baru lepas apa sahaja jenis pembedahan akan direhatkan disitu sebelum di bawa masuk wad.

6.00pm: Masuk wad. Mik sampai. Dia masih senyum kelat macam sebelumnya. Dia nampak risau walaupun isteri dia ni tengah senyum sampai ke telinga. Dia masih tak tau yang perut isteri dia tak jadi dibelah. Bila diceritakan apa yang terjadi, dia tarik nafas panjang & bersyukur.

Sejujurnya aku rasakan diri ini begitu kerdil. Di saat genting, Allah terima doa kami suami isteri dan Dia ubah jalan cerita kisah kelahiran Baby Q dengan sekelip mata. Allah maha besar! Segala pujian hanya padaNya. Alhamdulillah Allah permudahkan semuanya. Dari saat bangun tidur 10am hingga Baby Q dilahirkan pada 2.21pm. Semuanya berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit drama doktor menjerit macam mak tiri.. Hahaha. Sesi berpantang bersalin normal juga lebih mudah walaupun sedikit sakit jika dibandingkan dengan bersalin Cesarean. Alhamdulillah bilangan keluarga bertambah seorang lagi. Lengkap sepasang penyeri hidup kami - Muhammad Qaiser dan Mysha Qaisara.

Mysha Qaisara
27/6/2016 - overdue 2 hari dari EDD
2.21pm
Hospital Sungai Buloh